Friday, February 4, 2011

Cuba 'try' baca ini...


Assalamualaikum w.b.t. dan salam sejahtera kepada semua rakyat Malaysia. Penulisan kali ini sekali lagi bertujuan membincangkan penggunaan campuran bahasa Melayu dan bahasa Inggeris dalam kalangan masyarakat kita. Fokus campuran bahasa yang akan diketengahkan dalam penulisan ini ialah frasa "Cuba 'try'....". Penggunaan frasa ini seolah-olah sudah menjadi kebiasaan dalam kalangan masyarakat Malaysia. Hal ini demikian kerana, saya kerap kali mendengar frasa ini dituturkan dalam komunikasi rakan-rakan dan masyarakat malahan saya sendiri tidak terlepas daripada menggunakan frasa tersebut. Kita dapat memahami bahawa "cuba" dalam bahasa Melayu mempunyai makna yang sama dengan "try" dalam bahasa Inggeris. Oleh itu, sekiranya kita menggunakan frasa ini dalam ayat atau komunikasi lisan kita sehari-hari seperti "Cuba 'try' baju ini" akan menyebabkan berlakunya lewah atau pengulangan kata iaitu, "Cuba 'try'(cuba) baju ini". Dalam bahasa Melayu, unsur lewah atau pengulangan akan menyebabkan ayat menjadi tidak gramatis justeru tidak bertepatan dengan tuntutan Bahasa Melayu Baku yang seharusnya diamalkan oleh rakyat Malaysia. 'Cuba' tergolong dalam golongan kata perintah. Jika dilihat daripada contoh ayat sebentar tadi, kita dapat memahami bahawa ayat tersebut menyuruh atau memerintah pendengar untuk melakukan sesuatu sama seperti ayat contoh yang berikut :

Contoh 1 : "Tolong senyap!" (Penggunaan bahasa Melayu sepenuhnya)
Contoh 2 : "Cuba 'try' masakan ini." (Penggunaan campuran bahasa Melayu dan Inggeris)

Berdasarkan contoh di atas, kita dapat melihat bahawa ayat 1 terdiri daripada kata perintah (tolong) dan juga kata sifat (senyap). Namun, berdasarkan keseluruhan ayat, kita dapat memahami bahawa pengujar memerintahkan atau meminta supaya pendengar senyap atau tidak membuat bising. Jika dilihat dalam contoh ayat 2, kita dapat melihat seolah-olah fungsi unsur-unsurnya menyamai contoh ayat 1. Perkataan 'Cuba' sememangnya kata perintah seperti 'tolong' dalam ayat 1, manakala 'try' seolah-olah memainkan peranan atau fungsi yang sama dengan 'senyap' dalam ayat 1. Berdasarkan struktural  contoh ayat 2, ia dapat difahami kerana mempunyai perkara yang sama dengan contoh ayat 1. Namun begitu, jika dilihat dari segi makna, contoh ayat 2 berbunyi seperti berikut :

Contoh 3 : "Cuba 'try'(cuba) masakan ini."

Kita dapat melihat dengan jelas berlakunya pengulangan 'cuba' dalam contoh ayat tersebut. Oleh itu, kita seharusnya mendidik diri kita dan juga orang lain supaya mengurangkan dan kemudian menghapuskan percampuran bahasa dalam komunikasi. Hal ini demikian kerana, percampuran bahasa menyebabkan ayat menjadi tidak gramatis dan Bahasa Melayu Baku tidak dapat diamalkan dalam kehidupan harian kita. Sehubungan dengan itu, marilah kita bersama-sama mengawal dan mendidik diri dan masyarakat supaya menggunakan bahasa Melayu dengan betul dan sebaiknya.