Friday, February 4, 2011

Cuba 'try' baca ini...


Assalamualaikum w.b.t. dan salam sejahtera kepada semua rakyat Malaysia. Penulisan kali ini sekali lagi bertujuan membincangkan penggunaan campuran bahasa Melayu dan bahasa Inggeris dalam kalangan masyarakat kita. Fokus campuran bahasa yang akan diketengahkan dalam penulisan ini ialah frasa "Cuba 'try'....". Penggunaan frasa ini seolah-olah sudah menjadi kebiasaan dalam kalangan masyarakat Malaysia. Hal ini demikian kerana, saya kerap kali mendengar frasa ini dituturkan dalam komunikasi rakan-rakan dan masyarakat malahan saya sendiri tidak terlepas daripada menggunakan frasa tersebut. Kita dapat memahami bahawa "cuba" dalam bahasa Melayu mempunyai makna yang sama dengan "try" dalam bahasa Inggeris. Oleh itu, sekiranya kita menggunakan frasa ini dalam ayat atau komunikasi lisan kita sehari-hari seperti "Cuba 'try' baju ini" akan menyebabkan berlakunya lewah atau pengulangan kata iaitu, "Cuba 'try'(cuba) baju ini". Dalam bahasa Melayu, unsur lewah atau pengulangan akan menyebabkan ayat menjadi tidak gramatis justeru tidak bertepatan dengan tuntutan Bahasa Melayu Baku yang seharusnya diamalkan oleh rakyat Malaysia. 'Cuba' tergolong dalam golongan kata perintah. Jika dilihat daripada contoh ayat sebentar tadi, kita dapat memahami bahawa ayat tersebut menyuruh atau memerintah pendengar untuk melakukan sesuatu sama seperti ayat contoh yang berikut :

Contoh 1 : "Tolong senyap!" (Penggunaan bahasa Melayu sepenuhnya)
Contoh 2 : "Cuba 'try' masakan ini." (Penggunaan campuran bahasa Melayu dan Inggeris)

Berdasarkan contoh di atas, kita dapat melihat bahawa ayat 1 terdiri daripada kata perintah (tolong) dan juga kata sifat (senyap). Namun, berdasarkan keseluruhan ayat, kita dapat memahami bahawa pengujar memerintahkan atau meminta supaya pendengar senyap atau tidak membuat bising. Jika dilihat dalam contoh ayat 2, kita dapat melihat seolah-olah fungsi unsur-unsurnya menyamai contoh ayat 1. Perkataan 'Cuba' sememangnya kata perintah seperti 'tolong' dalam ayat 1, manakala 'try' seolah-olah memainkan peranan atau fungsi yang sama dengan 'senyap' dalam ayat 1. Berdasarkan struktural  contoh ayat 2, ia dapat difahami kerana mempunyai perkara yang sama dengan contoh ayat 1. Namun begitu, jika dilihat dari segi makna, contoh ayat 2 berbunyi seperti berikut :

Contoh 3 : "Cuba 'try'(cuba) masakan ini."

Kita dapat melihat dengan jelas berlakunya pengulangan 'cuba' dalam contoh ayat tersebut. Oleh itu, kita seharusnya mendidik diri kita dan juga orang lain supaya mengurangkan dan kemudian menghapuskan percampuran bahasa dalam komunikasi. Hal ini demikian kerana, percampuran bahasa menyebabkan ayat menjadi tidak gramatis dan Bahasa Melayu Baku tidak dapat diamalkan dalam kehidupan harian kita. Sehubungan dengan itu, marilah kita bersama-sama mengawal dan mendidik diri dan masyarakat supaya menggunakan bahasa Melayu dengan betul dan sebaiknya.

Sunday, January 30, 2011

Pengaruh 'OK' dalam kalangan pelajar UPSI


Assalamualaikum W.B.T. dan Salam sejahtera. Penulisan kali ini bertujuan membincangkan penggunaan 'ok' dalam kalangan pelajar UPSI sendiri terutamanya pelajar program Pendidikan Bahasa Melayu. Baru-baru ini kami telah menjalani pengajaran mikro bagi kursus KPD3026. Setiap guru pelatih yang menjalankan pengajaran mikro sentiasa mengeluarkan perkataan 'ok' sepanjang proses pengajaran. Terdapat juga sesetengahnya yang menggunakan 'ok' ketika di saat permulaan pengajaran lagi. Hal ini membuktikan bahawa pengaruh 'ok' amat menebal dalam kalangan rakyat Malaysia termasuklah dalam kalangan mahasiswa dan mahasiswi sendiri. Penggunaan 'ok' telah menjadi kelaziman dalam kalangan rakyat Malaysia seterusnya mendorong kepada peluasan penggunaannya sehingga ke tahap universiti. Kita seharusnya peka dan cuba berwaspada malah perlu mengubah secara sedikit demi sedikit penggunaan 'ok' dalam komunikasi seharian kita. Penggunaan 'ok' boleh digantikan dengan 'baiklah' atau seumpamanya yang difikirkan sesuai. Sekiranya kita gagal untuk mmbendung atau mengawal dan seterusnya menghapuskan pengaruh 'ok' dalam proses kita berbahasa maka, penggunaan Bahasa Melayu Baku yang sempurna tidak dapat dicapai. Sebagai seorang bakal guru, saya ingin berpesan kepada semua rakyat Malaysia terutamanya rakan-rakan seperjuangan supaya mengurangkan penggunaan 'ok' dalam proses kita berbahasa terutamanya apabila kita mengajar di sekolah kelak. Hal ini demikian kerana, didikan yang betul di sekolah akan melahirkan insan yang mampu mengamalkan penggunaan Bahasa melayu Baku dengan baik. Sekolah merupakan institusi yang menjadi akar umbi kepada pembentukan insan yang baik dan seimbang daripada aspek jasmani, emosi, rohani dan intelek. Sehubungan dengan itu, perkara ini seharusnya dipandang serius untuk mendidik para generasi muda, bak kata pepatah, "melentur buluh biarlah dari rebungnya".

Monday, January 17, 2011

TUGASAN SOSIOLINGUISTIK 1

Situasi : Perbualan dua orang rakan.
Tempat : Sekitar bilik kuliah Proton City.
Situasi ini saya rakamkan ketika menunggu untuk masuk ke kuliah yang seterusnya di Proton City. Saya terdengar perbualan dua orang sahabat saya iaitu, Mojahid dan Hafizudin yang sedang berbincang mengenai blog. Pada masa itu Hafizudin sedang memberikan tunjuk ajar kepada Mojahid mengenai cara-cara menghias blog. Berikut merupakan sedikit sebanyak contoh dialog antara mereka berdua :

Foto 1 : Hafizudin memberi tunjuk ajar kepada Mojahid.

Mojahid     : Cepatlah ajar aku buat blog.
Hafizudin    : Meh aku ajar kau buat blog list.
Mojahid     : Ha, cepatlah. Macam mana?
Hafizudin    : Kau klik design, pastu klik add gadget. Pastu kau cari blog list dan klik. Nanti dia naik la kat blog kau.

Ulasan : Dalam contoh dialog di atas, kita dapat melihat bahawa terdapat campuran bahasa yang digunakan iaitu, bahasa Melayu dan bahasa Inggeris. Perkara ini berlaku mungkin disebabkan oleh bahasa tetapan dalam blog tersebut ialah bahasa Inggeris. Oleh itu, Hafizudin cenderung untuk mencampurkan bahasa Inggeris dengan bahasa Melayu untuk menerangkan kepada Mojahid beberapa istilah yang terdapat dalam blog tersebut.

Cadangan : Masalah ini dapat diatasi sekiranya tetapan bahasa blog tersebut menggunakan tetapan bahasa Melayu. Sehubungan dengan itu, percampuran penggunaan bahasa dalam perbualan mungkin dapat dikurangkan supaya proses komunikasi yang berlaku lebih gramatis dan bermakna. Cadangan yang kedua ialah mereka berdua boleh menggunakan bahasa Inggeris dengan sepenuhnya untuk berkomunikasi antara satu sama lain. Jika perkara ini dapat diamalkan oleh kita terutamanya rakyat Malaysia, maka matlamat untuk mencapai penggunaan bahasa Melayu Baku dapat dicapai serta meningkatkan martabat bahasa Melayu itu sendiri di mata dunia.

Foto 2 : Mojahid sedang menghias blog dengan tekun.

Friday, January 14, 2011

SEMINAR PENULISAN ILMIAH

Pada 16 Januari 2011, Persatuan Bahasa Melayu (PERBAYU) UPSI dengan kerjasama Jabatan Hal Ehwal Pelajar dan Alumni UPSI bakal menganjurkan program seperti di atas.. Program ini bertujuan memberikan pendedahan kepada para pelajar UPSI terutamanya pelajar-pelajar Program Pendidikan Bahasa Melayu AT05 mengenai penulisan ilmiah..Program ini akan berlangsung dari pukul 8.30 pagi hingga 12.45 tengahari bertempat di Dewan Sri Tanjung UPSI dan yuran penyertaan hanya RM1..Diharapkan semoga program ini berjalan dengan lancarnya.. Amin..(^^,)..

Foto 1 : "Backdrop" Seminar Penulisan Ilmiah.

Tuesday, January 11, 2011

PEMBELAJARAN BLOG

Pada pukul 10.00 pagi bertempat di blik kuliah Proton City 24, saya dan rakan-rakan kursus BML3073 belajar cara-cara membuat blog daripada Cikgu Syazril Asyraf atau lebih dikenali sebagai SA. Beliau memberikan tunjuk ajar dan kerjasama yang baik sepanjang mengajar kami semua. Terdapat juga beberapa orang rakan yang telah mahir dalam membuat blog dan mereka juga turut membantu rakan-rakan yang lain. Suasana di dalam bilik kuliah amat meriah ketika itu dengan gurau-senda dan usikan daripada rakan-rakan. Saya juga mempunyai sedikit pengetahuan mengenai blog, jadi saya memberikan sedikit tunjuk ajar kepada sahabat saya iaitu, Mojahid. Dia cepat belajar dan menerima perkara yang saya ajarkan kepadanya. Sekiranya kami musykil mengenai sesuatu, kami akan bertanya kepada Cikgu SA. Beliau dapat memberikan bantuan dengan sebaiknya. Beliau juga menerangkan bahawa satu akaun blogger yang sama boleh digunakan untuk menghasilkan beberapa blog yang lain. Saya berasa amat seronok sepanjang proses pembelajaran itu berlangsung. Saya ingin mengucapkan jutaan terima kasih kepada Cikgu SA atas tunjuk ajar yang diberikan dan tidak lupa juga kepada rakan-rakan yang membantu sepanjang proses pembelajaran.. Sekian, terima kasih...(^^,)..

Inilah Cikgu SA... Beliau kacak kan?? hihihihi