Assalamualaikum W.B.T. dan Salam sejahtera. Penulisan kali ini bertujuan membincangkan penggunaan 'ok' dalam kalangan pelajar UPSI sendiri terutamanya pelajar program Pendidikan Bahasa Melayu. Baru-baru ini kami telah menjalani pengajaran mikro bagi kursus KPD3026. Setiap guru pelatih yang menjalankan pengajaran mikro sentiasa mengeluarkan perkataan 'ok' sepanjang proses pengajaran. Terdapat juga sesetengahnya yang menggunakan 'ok' ketika di saat permulaan pengajaran lagi. Hal ini membuktikan bahawa pengaruh 'ok' amat menebal dalam kalangan rakyat Malaysia termasuklah dalam kalangan mahasiswa dan mahasiswi sendiri. Penggunaan 'ok' telah menjadi kelaziman dalam kalangan rakyat Malaysia seterusnya mendorong kepada peluasan penggunaannya sehingga ke tahap universiti. Kita seharusnya peka dan cuba berwaspada malah perlu mengubah secara sedikit demi sedikit penggunaan 'ok' dalam komunikasi seharian kita. Penggunaan 'ok' boleh digantikan dengan 'baiklah' atau seumpamanya yang difikirkan sesuai. Sekiranya kita gagal untuk mmbendung atau mengawal dan seterusnya menghapuskan pengaruh 'ok' dalam proses kita berbahasa maka, penggunaan Bahasa Melayu Baku yang sempurna tidak dapat dicapai. Sebagai seorang bakal guru, saya ingin berpesan kepada semua rakyat Malaysia terutamanya rakan-rakan seperjuangan supaya mengurangkan penggunaan 'ok' dalam proses kita berbahasa terutamanya apabila kita mengajar di sekolah kelak. Hal ini demikian kerana, didikan yang betul di sekolah akan melahirkan insan yang mampu mengamalkan penggunaan Bahasa melayu Baku dengan baik. Sekolah merupakan institusi yang menjadi akar umbi kepada pembentukan insan yang baik dan seimbang daripada aspek jasmani, emosi, rohani dan intelek. Sehubungan dengan itu, perkara ini seharusnya dipandang serius untuk mendidik para generasi muda, bak kata pepatah, "melentur buluh biarlah dari rebungnya".
No comments:
Post a Comment